~Kata Hikmah~

``Orang Beriman yang dipupuk semangat taqwa akan sentiasa yakin bahawa dalam keadaan apa sekalipun dia tidak akan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t' '

Friday, October 22, 2010

Kisah Safwan Umaiyah Dengan Rasulullah

Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki bernama Safwan bin Umaiyah. Di sangat benci kepada Rasulullah dan sering mengganggu Rasulullah dengan berbagai-bagai perbuatan yang menyakitkan baginda.

Pada suatu hari, dia sangat ketakutan kerana Nabi dan angkatan tentera Islam telah berjaya memasuki kota Mekah. Ada satu pasukan yang telah dipimpin oleh Khalid Al-Walid. Dari jauh, bendera Nabi s.a.w. yang bernama ‘Al-Uqab’ kelihatan berkibar-kibar dengan megah. Sementara itu, golongan musyrik mengintai ketakutan di sebalik sebuah bukit.

Safwan yang dahulunya kejam terhadap Rasulullah turut mencari perlindungan. Dia takut dan merasakan bahawa dia lebih sanggup terjun ke dalam laut daripada bertemu dengan Rasulullah pada waktu itu.

Seorang sepupu Safwan, Umair bin Wahab pergi menemui Rasulullah kerana ingin menceritakan kepada baginda tentang hal Safwan. Sebaik sahaja dia berdepan dengan Rasulullah, dia berkata, “Ya Nabi Allah, Safwan yang terkenal itu telah melarikan diri dan hendak membunuh dirinya dengan menerjun ke dalam laut. Berilah dia petunjuk sebagaimana yang telah engkau lakukan terhadap Ahmar bin Aswad.”

“Carilah sepupumu itu. Aku tidak akan membunuhnya,” kata Nabi. “Berilah dia tanda agar dia percaya, sebab aku telah menyuruh dia menghentikan peruatannya dan dia bersetuju jika diberi jaminan keselamatan,” kata Umair. Rasulullah pun memberikan serban yang dipakainya sewaktu memasuki mekah. Umair segera mengambil serban itu lantas berlari mendapatkan Safwan.

“Pergilah engkau dari sini,” Safwan berkata kepada sepupunya apabila Umair datang. “Hai, Safwan, aku datang dengan restu insan yang mulia lagi baik, penyantun dan sebaik-baik manusia iaitu saudara kepada ayahmu,” ujar Umair.

“Aku takut untuk menghadapinya,” Safwan berkata. Umair menunjukkan serban Rasulullah. Setelah Safwan melihat serban itu, dia percaya akan kata-kata Umair lalu kembali ke Mekah. Mereka berdua pergi menemui Rasulullah.

“Apakah engkau memberi keamanan kepadaku?” tanya Safwan. “Benar,” jawab Rasulullah. “Berilah aku waktu dua bulan untuk berfikir,” Safwan berkata. “Aku boleh memberi kau empat bulan jika kau mahu,” Rasulullah menjawab.

Akhirnya Safwan memeluk Islam setelah melihat sikap Rasulullah, malah telah mengikuti Rasulullah berperang menentang kaum Quraisy.

Wallahua'lam...

Sedikit Perkongsian


Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.
Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah..

Isteri Solehah


  • Isteri yang sentiasa menjaga kebersihan, kesihatan dan kesempurnaan dirinya, rumah tangga serta anak-anak.

  • Isteri yang sentiasa mencintai dan menghormati keluarga suaminya seperti mana ia menghormati dan menyayangi keluarganya sendiri.

  • Isteri yang sentiasa menjaga aurat dari pandangan yang bukan mahramnya dan pandangan matanya sendiri.

  • Tidak membenarkan lelaki yang bukan mahramnya memasuki rumahnya ketika ketiadaan suami.


  • Isteri sedia menjadikan suaminya sebagai ketua dalam rumah tangga mereka. Ini kerana sifat semulajadi yang telah Allah anugerahkan kepada kaum lelaki.

  • Isteri sedia memberikan kesetiaan, ketaatan dan kepatuhan kepada suaminya selagi suruhan suami itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

  • Isteri yang sedia memberikan jawapan dan kasih sayang yang sepenuhnya sehingga membuatkan suami merasakan rumah tangganya itu adalah tempat untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan dari sebarang masalah kerja.

  • Isteri yang sentiasa menjaga rahsia dan maruah suaminya begitu juga dengan maruahnya sendiri ketika ketiadaan suami.

  • Isteri mestilah memohon keizinan suaminya untuk keluar dari rumah atau untuk mengerjakan puasa sunat.

  • Isteri mestilah bijak menguruskan harta suami dalam berbelanja dengan kadar yang sederhana serta tidak membazir. Cara ini dapat menyelamatkan suami dari masalah kewangan.

  • Isteri yang sedia menerima pemberian suami dengan penuh keikhlasan dan kerelaan.

  • Isteri yang sentiasa bersyukur dan tenang sama ada menerima nikmat atau dugaan dari Allah.

  • Sedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu serta segala perintah Allah dengan tabah dan sabar.

  • Berdiam diri sambil mendengar bila suaminya sedang bercakap

  • Isteri yang sedia dan melayani dan memenuhi kehendak batiniah suami bila diperlukan.

  • Isteri yang sentiasa menghiasi diri dan sebaliknya pula bila ketiadaan suami.

  • Isteri yang sentiasa bersikap malu terhadap suaminya, bersopan santun dalam perkataan dan juga perbuatannya.

  • Isteri yang menemani suaminya ke muka pintu bila ia hendak keluar dan menyambutnya dengan seyuman bila ia pulang.

Berbahagialah suami yang memiliki isteri solehah dan beruntunglah isteri yang memiliki suami yang soleh..

Kerana Sebiji Epal


Pada zaman dahulu, ada seorang pemuda yang amat soleh dan wara’. Dia juga terkenal sebagai seorang yang sangat jujur dalam percakapan mahupun perbuatan. Dia tinggal di sebuah kota kecil di negeri Parsi. Menurut riwayat, Abu Salih Jangi Dost adalah keturunan Saidina Hassan bin Ali, cucu kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Abu Salih adalah seorang pemuda Islam yang kuat beribadah, dan mempunyai ilmu pengetahuan yang amat luas. Dia tidak tertarik langsung dengan kesenangan dunia. Setiap hari dia suka duduk di tepi sungai sambil memikirkan kebesaran Allah s.w.t.

Pada suatu hari, ketika Abu Salih sedang duduk di tepi sebatang sungai, dia ternampak sebiji epal dihanyutkan air. Ketika itu Abu Salih belum lagi makan apa-apa dan dia berasa lapar. Abu Salih pun mengambil buah itu serta memakannya. Tiba-tiba dia tersedar bahawa dia telah makan buah epal dari pokok kepunyaan orang lain.

Abu Salih tidak senang hati. Tanpa membuang masa, dia terus pergi mencari pemilik kepada epal tadi. Dia memudiki sungai hingga ke hulu. Setelah sekian lama dia berjalan, dia ternampak satu dahan dari sebatang pokok epal terjuntai dari atas sungai. Dia yakin bahawa epal yang dimakannya berasal dari pokok ini. Dia berasa takut akan kemurkaan Allah dan tuan pokok tersebut, lantas terus mencari tuannya itu.

Tidak lama kemudian, Abu Salih tiba di hadapan sebuah rumah yang sederhana besar. Abu Salih mengandaikan bahawa pemilik rumah itu adalah tuan kepada pokok epal tadi. Sebenarnya rumah itu kepunyaan seorang wali Allah yang terkenal iaitu Abdullah Sawmai.

Setelah memberi salam dan masuk ke dalam rumah itu, Abu Salih menceritakan tujuan kedatangannya. Dia meminta maaf di atas kesalahannya. Abdullah Sawmai bersedia untuk memaafkannya dengan syarat Abu Salih harus tinggal bersamanya selama dua belas tahun. Wali itu sengaja menguji sejauh mana ketaqwaan Abu Salih. Abu Salih bersetuju sahaja dengan syarat tersebut.

Semasa Abu Salih tinggal di situ, dia telah membantu membuat berbagai-bagai  kerja rumah. Dia juga taat kepada setiap kerja yang diberikan kepadanya.

Setelah genap dua belas tahun Abu Salih menetap bersama Abdullah Sawmai, dia pergi menemui wali itu untuk meminta keizinannya untuk pulang ke kampung halamannya.

Sebaik sahaja selepas dia meminta maaf, Abdullah Sawmai berkata, “Aku bersedia memaafkan kau dengan syarat engkau mesti mengahwini anakku yang buta, pekak dan juga cacat”. Mendengar kata-kata tersebut, Abu Salih berbisik di dalam hati, ‘Kenapa aku diberikan hukuman yang begitu berat sekali sedangkan aku hanya memakan sebiji epal’. Walaubagaimanapun, Abu Salih tetap merasakan bahaw ia adalah satu ujian dari Allah dan tentu ada hikmat di sebaliknya. Akhirnya, dia dengan rela hati menerima syarat Abdullah Sawmai .

Setelah mereka dinikahkan, Abu Salih amat terkejut apabila dia mendapati bahawa isterinya tidak buta, tidak pekak dan tidak pula cacat seperti yang diberitahu oleh ayah mertuanya. Sebaliknya, isterinya seorang gadis yang amat cantik. Abu Salih berasa hairan dengan kata-kata ayah mertuanya.

Pada suatu hari, Abu Salih pun mendekati ayah mertuanya dan bertanya tentang  kenyataan ayahnya tentang isterinya sebelum ini. Abdullah Sawmai berkata, “Aku katakan Fatimah isterimu itu buta kerana dia tidak pernah melihat orang lain selain ayahnya. Aku katakan dia pekak kerana dia tidak pernah mendengar sebarang kata dusta dan aku katakan dia cacat kerana dia pernah melakukan dosa”.

Semenjak hari itu, Abu Salih hidup bahagia dengan isterinya, Ummu Khair Fatimah.