~Kata Hikmah~

``Orang Beriman yang dipupuk semangat taqwa akan sentiasa yakin bahawa dalam keadaan apa sekalipun dia tidak akan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t' '

Tuesday, August 4, 2009

Solat dan Penemuan Sains


Dalam surah Al-Mukminun ayat 1-2 dan 9 Allah menjelaskan, “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka.... Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”

Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa untuk berjaya umat Islam tidak boleh mengabaikan solat sama sekali terutamanya solat-solat fardu. Dalam konteks melaksanakan solat, dua perkara wajib dijaga, pertamanya khusyuk dan keduanya, memastikan agar solat dilaksanakan dalam setiap keadaan mengikut cara dan jadual waktu yang telah ditetapkan.

Solat merupakan satu ibadah yang amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun ia tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat itu tiang agama sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.” Malah batas antara iman dan kufur ialah solat.


Kesesatan Kerana Memperkecilkan Solat

Golongan yang memperkecilkan solat merupakan golongan yang sesat. Dalam surah Maryam ayat 59 Allah berfirman, “Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” Berhubung dengan ayat ini, sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Maksud ‘mensia-siakan solat’ bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari waktunya”. Imam Said ibn Al-Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan sahabat Abdullah ibn Abbas. Beliau berkata: “Mereka melaksanakan solat zuhur di dalam waktu asar, solat asar di dalam waktu maghrib, solat maghrib di dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati di dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik..” Hal ini disebutkan di dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa. Jika bersolat fardu di luar waktu sudah begini hukumnya bayangkan azab yang bakal menimpa mereka yang tidak bersolat fardu sama sekali!

Justeru melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, sahabat Abdullah ibn Masud pernah bertanya kepada nabi, “Apakah amalan yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab, “Solat tepat pada waktunya.” Abdullah ibn Masud bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.” Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?” Nabi menjawab, “Jihad kerana agama Allah.”


Solat, Khusyuk Dan Sains

Kajian-kajian sains menunjukkan meditasi mendatangkan banyak kebaikan kepada kesihatan manusia. Pada tahun 1967 profesor Dr. Herbert Benson dari Fakulti Perubatan Harvard mendapati mereka yang bermeditasi menggunakan oksigen 17% lebih rendah daripada biasa. Di samping itu jantung mereka berdenyut dengan kadar yang lebih rendah daripada biasa dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelasnya. Gelombang theta ialah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada di saat yang amat menenangkan terutamanya ketika hampir terlena. Dr. Herbert Benson berpendapat meditasi mampu meredakan tekanan (stress) dan menjadikan seseorang lebih tenang lagi ceria.

Kajian yang melibatkan 90 orang pesakit kanser juga telah dilakukan. Mereka bermeditasi selama tujuh minggu. Kumpulan yang mengamalkan meditasi ini didapati kurang diserang masalah kesugulan, keresahan dan kemarahan berbanding kumpulan yang tidak bermeditasi. Tambahan dari itu mereka yang bermeditasi didapati lebih bertenaga dan kurang mengalami sakit jantung serta masalah pada sistem penghadaman. Kajian ini diterbitkan di dalam majalah Psychosomatic Medicine tahun 2000.

Solat yang dilakukan secara khusyuk boleh diibaratkan seperti meditasi yang melebihi meditasi biasa. Maksudnya, dalam solat yang dilakukan secara khusyuk memang terdapat unsur-unsur meditasi, tetapi ia berbeza dengan meditasi biasa kerana solat yang dilakukan oleh umat Islam ialah satu ibadah. Kalimat-kalimat dalam solat adalah pilihan Allah dan Rasul, bukannya pilihan manusia biasa, dan ketenangan yang diperoleh adalah ketenangan kurniaan Allah. Lebih dari itu mereka yang bersolat dengan ikhlas akan mendapat rahmat daripada Allah.

Solat Dan Yoga

Ada orang mengatakan solat adalah yoga. Sebenarnya solat bukanlah senaman ataupun yoga. Bagi orang-orang Islam solat adalah lebih agung dari sebarang senaman termasuk yoga. Solat ialah zikir yang paling mulia. Dalam surah Al-Ankabut ayat 45 Allah berfirman, “Dan zikrullah (iaitu solat) adalah lebih besar keutamaannya.” Dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa, disebutkan, “Berkata Imam Nasafi, (ayat ini menunjukkan) solat adalah lebih besar dari segala ketaatan yang lain.”

Berhubung dengan yoga, Journal of the Royal Society of Medicine menganggapnya sebagai “salah satu sistem pembangunan insan yang tertua yang merangkumi jasad, akal dan rohani.” Yoga mempunyai kedudukan serta gerak badan tertentu yang dikenali sebagai asanas. Ketika mengamalkan yoga seseorang akan duduk pada kedudukan tertentu untuk jangka masa tertentu dengan melafazkan kalimat-kalimat mantra yang tertentu di samping bernafas secara teratur. Salah satu kedudukan yoga atau asanas yang terpenting ialah Sirshasana (headstand). Ia dikenali juga sebagai Raja Yoga atau King of Yoga. Di kedudukan ini seorang pengamal yoga akan meletakkan kepalanya ke bumi dan di peringkat kemuncaknya akan meluruskan badan agar kakinya berada di atas. Sayangnya kedudukan sebegini tidak dapat dilakukan oleh semua orang. Oleh kerana kesannya yang positif yoga menjadi amat popular pada hari ini. Doktor-doktor di Harvard sering kali menyuruh pesakit-pesakit mereka mengamalkan yoga bertujuan untuk menjaga kesihatan.

Jika dilihat secara menyeluruh, memang terdapat beberapa unsur yoga di dalam solat. Solat merupakan ibadah yang merangkumi “jasad, roh dan akal.” Ia mempunyai kedudukan serta gerak badan tertentu yang dikenali sebagai rukun fi’li. Ia juga mementingkan gerak hati yang sentiasa ikhlas kepada Allah dan ini dikaitkan dengan rukun qalbi. Ia juga mempunyai kalimat-kalimat tertentu yang perlu dilafazkan dan ini dikaitkan dengan rukun qauli serta zikir. Salah satu kedudukan terpenting dalam solat ialah sujud. Di kedudukan ini seseorang akan meletakkan kepalanya di bumi dan di kedudukan itu darah dari jantungnya akan turun ke otak dengan mudah sekali. Berbeza dengan sirshasana, sujud dapat dilakukan oleh hampir semua orang.

Namun solat adalah lebih dari yoga kerana ia adalah ibadah yang berdasarkan wahyu. Ia adalah aktiviti penyembahan kepada Yang Maha Pencipta yang memerlukan disiplin kerana ia terikat dengan waktu. Seseorang yang hendak bersolat wajib membersihkan jiwanya dari kesyirikan terlebih dahulu sebelum memasuki solat untuk mengesakan Allah. Di samping itu pembersihan jasad dengan berwuduk adalah diwajibkan. Oleh kerana ia adalah aktiviti pengabdian, pemakaian seseorang juga perlu menjurus kepada pengabdian dengan menutup aurat. Solat tidak hanya merupakan aktiviti individu, ia juga merupakan aktiviti kelompok. Justeru solat berjemaah adalah diwajibkan pada masa-masa tertentu berpandukan cara dan syarat yang telah ditetapkan. Justeru jika dibandingkan dengan yoda, solat adalah lebih lengkap dan komprehensif dan kesan jangka panjangnya adalah lebih mendalam.


Faedah-Faedah Solat

Solat yang dilakukan akan menggugurkan dosa seseorang. Imam Muslim meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat yang lima menghilangkan dosa sebagaimana air menghilangkan daki.” Dalam riwayat yang lain oleh Imam Muslim, nabi bersabda, “Solat menghapuskan dosa yang berlaku di antara satu solat dengan satu yang lain melainkan dosa-dosa besar.”

Solat membina jati diri seseorang. Imam Abu Al-Aliyah berkata, “Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Ikhlas akan membawa seseorang kepada yang makruf, khusyuk akan mencegahnya dari perbuatan mungkar dan zikrullah akan membantunya melakukan yang makruf dan mencegahnya dari yang mungkar”. Hal ini disebutkan di dalam Tafsir Al-Azhar oleh Hamka.

Di samping itu, solat menguatkan jiwa seseorang sehingga memampukannya meninggalkan kekejian dan kemungkaran. Dalam surah Al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.” Apabila peribadi unggul seperti ini dapat dibentuk melalui solat, keluarga dan masyarakat akan menjadi aman dan selamat.

Solat mendidik umat Islam menjadi pengurus masa yang baik. Dalam surah An-Nisak ayat 103, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.” Oleh kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan dosa. Kepekaan kepada waktu ini jika diperkembangkan kepada seluruh kehidupan akan menjadikan umat Islam satu golongan yang menghargai masa. Golongan yang menghargai masa pasti akan cemerlang.

Solat juga membentuk disiplin. Di antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat ialah mengambil wuduk, dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib. Tertib bermaksud, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib dipelihara.. Jika seseorang mendahulukan amalan yang sepatutnya dikemudiankan, sebagai contoh, melakukan sujud sebelum qiam dan takbiratul ihram, solatnya dianggap tidak sah. Latihan-latihan seperti ini mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali gus menjadikannya efisien di dalam setiap pekerjaan.

Solat mendidik umat Islam agar mementingkan ilmu. Hal ini disebabkan ketika melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim dan Ahmad, nabi bersabda, “Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih tahu tentang Al-Quran. Jika kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah dari kalangan yang lebih memahami sunnah..” Makmum yang berada di belakang imam juga perlu menguasai ilmu kerana kadangkala imam terlupakan sesuatu di dalam solatnya. Justeru, Islam mengarahkan agar makmum yang berdiri hampir dengan imam adalah dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi, nabi bersabda, “Hendaklah mereka yang pandai lagi baligh bersolat dekat denganku, kemudian mereka yang seumpama mereka, kemudian mereka yang seumpamanya..”

Tekanan jiwa atau stres sering melanda manusia dan solat mempunyai penawar yang mampu meredakannya. Hal ini disebabkan solat mengandungi zikir dan zikir jika dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati. Dalam surah Taha ayat 14 Allah berfirman, “Dan tegakkanlah solat untuk berzikir kepadaKu.” Oleh kerana solat benar-benar mendamaikan hati nabi pernah berkata, “Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat.” Justeru, rugilah mereka yang tidak bersolat. Kerugian mereka amat besar sekali.


dipetik dari laman web www.danialzainalabidin.com

No comments:

Post a Comment