~Kata Hikmah~

``Orang Beriman yang dipupuk semangat taqwa akan sentiasa yakin bahawa dalam keadaan apa sekalipun dia tidak akan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t' '

Saturday, August 8, 2009

Kelebihan Bismallah

"BISMILLAH adalah sebutan/nama singkat dari lafaz "BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM" yang bermaksud "Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang".

KELEBIHAN-KELEBIHAN BISMILLAH

1. Yang pertama ditulis Qalam adalah BISMILLAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail.

2. "BISMILLAH untukMu dan umahMu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam". (Hadith Qudsi)

3. Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.

4. Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu dibacakan pada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya.

5. Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.

6.Jumlah huruf dalam BISMILLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 (QS.AL Muddatsir:30). Ibnu Mas'ud berkata: "Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari".

7. Tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, "Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya."

8. Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya.

9. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.

10. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.

11. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca.

Wednesday, August 5, 2009

Kisah 3 orang Bani Israil...

Pada suatu hari Allah memerintahkan malaikat bertemu dengan tiga orang Bani Israil. Ketiga-tiga mereka cacat; seorang botak, seorang sopak dan seorang lagi buta.

Malaikat yang menyamar seperti manusia itu bertanya si-sopak "Jika Allah hendak kurniakan sesuatu untuk kamu, apakah yang kamu mahu?" Si-sopak menjawab, "Saya mahu kulit saya sembuh seperti biasa dan diberi kekayaan yang banyak." Dengan takdir Allah, kulitnya kembali sembuh dan dikurniakan rezeki yang banyak.

Kemudian malaikat bertanya si-botak soalan yang sama. Si-botak menjawab, "Saya mahu kepala saya berambut semula supaya kelihatan kacak dan diberikan harta yang banyak." Tiba-tiba, dengan kurnia Allah si-botak itu kembali berambut dan diberikan harta yang banyak.

Selepas itu malaikat bertanya si-buta pertanyaan yang sama. Si-buta menjawab, "Saya hendak mata saya dicelikkan semula dan diberikan harta yang banyak." Dengan takdir Allah, mata si-buta menjadi celik dan dikurniakan kekayaan yang melimpah.

Selang beberapa bulan, Allah memerintahkan semula malaikat untuk berjumpa dengan ketiga-tiga orang cacat itu. Kali ini malaikat menyamar sebagai peminta sedekah. Dia berjumpa dengan orang pertama yang dulunya sopak dan meminta sedikit wang. 'Si-sopak' itu tidak menghulurkan sebarang bantuan malah mengherdik malaikat. Malaikat berkata, "Saya rasa saya kenal kamu. Dulu kamu sopak..dan miskin. Allah telah menolong kamu." Si-sopak tidak mengaku. Dengan kuasa Allah, si-sopak yang sombong itu bertukar menjadi sopak semula dan bertukar menjadi miskin.

Kemudian malaikat berjumpa dengan si-botak yang telah menjadi kaya dan berambut lebat. Apabila malaikat meminta bantuan, si-botak juga enggan membantu, malahan dia tidak mengaku bahawa dia dulu botak. Oleh sebab sombong dan tidak sedar diri, Allah menjadikan kepalanya botak semula dan bertukar menjadi miskin.

Malaikat berjumpa dengan orang buta yang telah diberikan penglihatan. Apabila malaikat meminta bantuan, si-buta memberikan keseluruhan hartanya dan berkata, "Ini semua harta pemberiaan Allah. Ambillah kesemuanya. Mata saya yang kembali celik ini adalah lebih berharga daripada kesemua harta ini." Malaikat tidak mengambil pemberian itu. Dia memberitahu bahawa dia adalah malaikat yang pernah datang dulu. Kedatangannya kali ini ialah untuk menguji siapa di antara mereka bertiga yang bersyukur.

Si-buta yang bersyukur itu terus dapat menikmati kekayaan dan penglihatannya. Manakala si- sopak dan si-botak kekal dengan keadaannya yang asal

Pesan Luqman Al-Hakim kpd anak2nya...

DUNIA ini ibarat lautan dalam. Oleh itu, kita hendaklah bijak untuk melayari atau melalui perjalanannya supaya tidak tenggelam.

Kiasan itu diberikan oleh Luqman Al-Hakim ketika menasihati anaknya supaya bertakwa ketika melayari hidup ini.

Katanya: “Hai anakku! Sesungguhnya dunia ini umpama lautan yang dalam. Ramai manusia yang telah tenggelam dalamnya.

“Oleh itu, jadikanlah ketakwaan kepada Allah itu sebagai kapalmu, keimanan itu sebagai muatannya dan tawakal itu pula sebagai layarnya. Mudah-mudahan, engkau akan terselamat. Aku tidak sanggup melihatmu melainkan dalam keadaan yang selamat."

Dalam riwayat lain, Luqman berkata: “Hai anakku! Sesungguhnya dunia ini umpama lautan yang terbentang luas. Ramai manusia yang karam dalamnya.

“Oleh itu, sekiranya engkau mampu menjadikan kapalmu itu daripada keimanan terhadap Allah, persediaanmu itu melalui tawakal dan muatanmu itu pula adalah daripada ketakwaan.

“Dan sekiranya engkau terselamat, maka ia kerana rahmat Allah dan sekiranya engkau karam, maka ia adalah kerana dosa-dosamu."

Begitu bernas nasihat Luqman kepada anaknya supaya menjadi seorang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Kata-katanya mengandungi makna tersurat untuk difikirkan oleh kita semua.

Dalam riwayat lain, Luqman berkata: “Hai anakku! Aku pernah memikul batu-bata, besi dan setiap benda yang berat, sedangkan aku tidak pernah memikul suatu pun yang lebih berat daripada jiran tetangga yang jahat.

“Aku telah merasakan pelbagai kepahitan, sedangkan aku tidak pernah merasakan sesuatu yang lebih pahit daripada kefakiran.

“Hai anakku! Janganlah engkau menghantar seorang yang bodoh sebagai utusanmu. Sekiranya engkau tidak memperoleh orang bijaksana, maka engkau sendirilah yang menjadi utusan itu.”

Apakah perbezaan antara majlis pengembumian jenazah dan perkahwinan?

Luqman dalam membuat perbandingan antara kedua-duanya, berpesan kepada anaknya:

“Hai anakku! Hadirilah majlis pengebumian jenazah, tetapi janganlah engkau menghadiri majlis perkahwinan.

“Hal itu kerana pengebumian jenazah itu, akan mengingatkanmu terhadap hari akhirat, manakala majlis perkahwinan itu pula, akan menjadikanmu sukakan dunia.”

Luqman juga berpesan supaya kita bersederhana dan tidak bersikap berlebih-lebih dalam melakukan sesuatu perkara.

Sebabnya, seperti katanya: “Hai anakku! Janganlah engkau bersikap terlalu manis, nescaya engkau akan ditelan dan janganlah pula engkau bersikap terlalu pahit, nescaya engkau akan diluahkan keluar."

Dalam memilih kawan, Luqman berpesan: “Hai anakku! Apabila engkau ingin mempersaudarakan seseorang, maka buatlah dia marah terlebih dulu. Sekiranya dia memaafkanmu sewaktu marahnya, maka ambillah dia sebagai saudaramu. Jika tidak, maka berhati-hatilah terhadapnya."

Berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Malik: Luqman telah berkata kepada anaknya: "Hai anakku! Bagaimanakah engkau boleh melambat-lambatkan manusia dengan apa yang mereka janjikan, sedangkan mereka bersegera pergi kepada apa yang tidak mereka janjikan?"

Bercakap mengenai pujian pula, katanya: “Hai anakku! Turunkanlah dirimu pada tingkatan yang sesiapa saja tidak berhajatkan pertolongan daripadamu, sedangkan engkau amat memerlukan daripadanya.

“Hai anakku! Jadilah engkau seorang yang tidak berhajatkan pujian manusia dan tidak juga celaan daripada mereka.

“Nescaya, tenanglah diri daripada kejahatan manusia dan manusia pula akan tenang dari kejahatannya (pujian)."

Kata Luqman lagi: "Hai anakku! Halanglah sesuatu yang keluar dari mulutmu. Kerana sesungguhnya engkau tidak dapat mendiamkan orang yang selamat. Engkau hanya mesti mengatakan sesuatu yang mendatangkan manfaat kepadamu.

"Hai anakku! Janganlah engkau melewat-lewatkan taubat. Kerana sesungguhnya, kematian itu datang dengan sekelip mata.

“Hai anakku! Berduyun-duyun datang kepada ulama dengan kedua-dua belah lututmu (berjalan kaki) dan janganlah engkau bertengkar dengan mereka (ulama), nescaya mereka akan membencimu.

“Ambillah daripada dunia untuk keperluanmu dan berbelanjalah dengan pencarianmu yang terbaik untuk akhiratmu.

“Janganlah engkau berbelanja sekali gus kerana engkau mempunyai tanggungan. Sebenarnya, di atas leher lelaki itu terletaknya segala bebanan.”

5 PERKARA ELOK DISEBUT

  • Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
    Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.
  • Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
  • Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?
  • Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga. Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.
  • Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Tuesday, August 4, 2009

KISAH SEORANG ULAMA’TABIIN DIGERGAJI KAKINYA

Pada tahun 23H pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab lahirlah seorang anak yang bernama Urwah bin Zubair anak kepada Zubair bin Awwam dengan Asma’ binti Abu Bakar. Urwah dibesarkan di dalam keluarga sahabat yang penuh taqwa. Sejak kecil lagi sudah kelihatan kecerdasan otaknya. Dia rajin belajar dan banyak menghafaz hadis yang diterimanya terus dari para sahabat.

Salah seorang guru Uwrah yang terkenal adalah Aisyah emak saudaranya sendiri. Aisyah, isteri Rasullullah S.A.W yang terpandai ini telah mendidik dan mengajar Urwah berbagai ilmu yang diterimanya daripada Rasullullah S.A.W. urwah termasuk salah seorang murid Aisyah yang rajin dan cerdas otaknya. Banyak hadis yang diceritakan oleh Aisyah dapat dihafaz dengan mudah oleh Urwah. Dia tidak menyesal sekiranya gurunya itu meninggalkannya, bahkan lima tahun sebelum Aisyah wafat, Urwah berkata :” Sekiranya dia(Aisyah) wafat hari ini, aku tidak akan menyesali sesuatu hadis padanya, sebab aku telah mendengarnya.”

Urwah yang alim ini menggalakkan anak-anaknya agar belajar: “Anak-anakku, belajarlah menuntut ilmu. Boleh jadi, meskipun kau masih kecil, kau sudah dewasa. Itu lebih baik dari orang tua yang bodoh.”

Urwah tidak hanya mewarisi ilmu yang luas sahaja dari Aisyah, bahkan sifat-sifat terpuji gurunya seperti taqwa, zuhud, dermawan, murah hati dan kerajinan ibadahnya. Apabila musim berbuah tiba, Urwah membuka pintu kebunnya, orang ramai bebas keluar masuk dan makan hasil tanaman Urwah sepuas- puasnya. Sambil makan, orang ramai boleh belajar berbagai ilmu daripada urwah dengan selesa.

Soal ibadah, Urwah memang mewarisi ketekunan Aisyah. Dia tidak pernah tinggal solat malam. Membaca Al-Quran seperempat mushaf setiap malam. Hanya sekali sahaja Urwah tidak mengerjakan solat malam, kerana keadannya yang sangat terpaksa. Begini ceritanya:

Suatu hari Urwah bersama anaknya yang bernama Muhammad bin Urwah pergi berziarah ke rumah Al-Walid bin Abdul Malik. Dekat rumah Al-Walid ada kawasan binatang buas. Tanpa pengetahuan ayahnya, Muhammad memasuki kawasan binatang itu dan dia diserang oleh seekor binatang buas yang ada di sana. Muhammad menjerit. Urwah terkejut dan bergegas untuk

memberi pertolongan. Malangnya Urwah jadi mangsa binatang itu. Sementara kaki Urwah pula digigit dan luka parah.

Bak kata pepatah,’sudah jatuh ditimpa tangga’ pula. Anak Urwah terbunuh dalam kejadian itu. Sementara kaki Urwah yang luka tidak mahu sembuh malah menjadi busuk. Al-walid datang melihat kaki Urwah yang semakin teruk itu dia berkata:”Sila potong sahaja kakimu. Kalau tidak, ia akan merosakkan badanmu.”

Urwah setuju. Maka, dipotonglah kaki Urwah dengan menggunakan gergaji. Semua musibah dihadapi oleh Urwan dengan tabah,ikhlas dan sabar, bagi menghadapi semua musibah itu, Urwah membaca surah Al-Kahfi ayat 62 yang bermaksud; “Kami telah mengalami kepenatan dalam perjalanan.

Walaupun demikian musibah yang menimpanya, Urwah tetap bersyukur kepada Allah dan berkata:”Ya Allah, dulu aku mempunyai empat kerat anggota. Engkau ambil satu, bakinya tinggal lagi tiga. Segala puji dan syukur untukMu. Dulu, aku empunyai empat orang anak. Engkau ambil satu dan Engkau tinggalkan tiga. Puji dan syukur bagiMu. Demi Allah, walaupun Engkau ambil,tapi Kau masih menyiksaku. Walaupun Engkau telah menbuatku menangis, tapi telah lama Engkau memberiku kesihatan yang baik.”

Solat dan Penemuan Sains


Dalam surah Al-Mukminun ayat 1-2 dan 9 Allah menjelaskan, “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka.... Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”

Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa untuk berjaya umat Islam tidak boleh mengabaikan solat sama sekali terutamanya solat-solat fardu. Dalam konteks melaksanakan solat, dua perkara wajib dijaga, pertamanya khusyuk dan keduanya, memastikan agar solat dilaksanakan dalam setiap keadaan mengikut cara dan jadual waktu yang telah ditetapkan.

Solat merupakan satu ibadah yang amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun ia tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat itu tiang agama sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.” Malah batas antara iman dan kufur ialah solat.


Kesesatan Kerana Memperkecilkan Solat

Golongan yang memperkecilkan solat merupakan golongan yang sesat. Dalam surah Maryam ayat 59 Allah berfirman, “Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” Berhubung dengan ayat ini, sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Maksud ‘mensia-siakan solat’ bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari waktunya”. Imam Said ibn Al-Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan sahabat Abdullah ibn Abbas. Beliau berkata: “Mereka melaksanakan solat zuhur di dalam waktu asar, solat asar di dalam waktu maghrib, solat maghrib di dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati di dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik..” Hal ini disebutkan di dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa. Jika bersolat fardu di luar waktu sudah begini hukumnya bayangkan azab yang bakal menimpa mereka yang tidak bersolat fardu sama sekali!

Justeru melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, sahabat Abdullah ibn Masud pernah bertanya kepada nabi, “Apakah amalan yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab, “Solat tepat pada waktunya.” Abdullah ibn Masud bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.” Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?” Nabi menjawab, “Jihad kerana agama Allah.”


Solat, Khusyuk Dan Sains

Kajian-kajian sains menunjukkan meditasi mendatangkan banyak kebaikan kepada kesihatan manusia. Pada tahun 1967 profesor Dr. Herbert Benson dari Fakulti Perubatan Harvard mendapati mereka yang bermeditasi menggunakan oksigen 17% lebih rendah daripada biasa. Di samping itu jantung mereka berdenyut dengan kadar yang lebih rendah daripada biasa dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelasnya. Gelombang theta ialah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada di saat yang amat menenangkan terutamanya ketika hampir terlena. Dr. Herbert Benson berpendapat meditasi mampu meredakan tekanan (stress) dan menjadikan seseorang lebih tenang lagi ceria.

Kajian yang melibatkan 90 orang pesakit kanser juga telah dilakukan. Mereka bermeditasi selama tujuh minggu. Kumpulan yang mengamalkan meditasi ini didapati kurang diserang masalah kesugulan, keresahan dan kemarahan berbanding kumpulan yang tidak bermeditasi. Tambahan dari itu mereka yang bermeditasi didapati lebih bertenaga dan kurang mengalami sakit jantung serta masalah pada sistem penghadaman. Kajian ini diterbitkan di dalam majalah Psychosomatic Medicine tahun 2000.

Solat yang dilakukan secara khusyuk boleh diibaratkan seperti meditasi yang melebihi meditasi biasa. Maksudnya, dalam solat yang dilakukan secara khusyuk memang terdapat unsur-unsur meditasi, tetapi ia berbeza dengan meditasi biasa kerana solat yang dilakukan oleh umat Islam ialah satu ibadah. Kalimat-kalimat dalam solat adalah pilihan Allah dan Rasul, bukannya pilihan manusia biasa, dan ketenangan yang diperoleh adalah ketenangan kurniaan Allah. Lebih dari itu mereka yang bersolat dengan ikhlas akan mendapat rahmat daripada Allah.

Solat Dan Yoga

Ada orang mengatakan solat adalah yoga. Sebenarnya solat bukanlah senaman ataupun yoga. Bagi orang-orang Islam solat adalah lebih agung dari sebarang senaman termasuk yoga. Solat ialah zikir yang paling mulia. Dalam surah Al-Ankabut ayat 45 Allah berfirman, “Dan zikrullah (iaitu solat) adalah lebih besar keutamaannya.” Dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa, disebutkan, “Berkata Imam Nasafi, (ayat ini menunjukkan) solat adalah lebih besar dari segala ketaatan yang lain.”

Berhubung dengan yoga, Journal of the Royal Society of Medicine menganggapnya sebagai “salah satu sistem pembangunan insan yang tertua yang merangkumi jasad, akal dan rohani.” Yoga mempunyai kedudukan serta gerak badan tertentu yang dikenali sebagai asanas. Ketika mengamalkan yoga seseorang akan duduk pada kedudukan tertentu untuk jangka masa tertentu dengan melafazkan kalimat-kalimat mantra yang tertentu di samping bernafas secara teratur. Salah satu kedudukan yoga atau asanas yang terpenting ialah Sirshasana (headstand). Ia dikenali juga sebagai Raja Yoga atau King of Yoga. Di kedudukan ini seorang pengamal yoga akan meletakkan kepalanya ke bumi dan di peringkat kemuncaknya akan meluruskan badan agar kakinya berada di atas. Sayangnya kedudukan sebegini tidak dapat dilakukan oleh semua orang. Oleh kerana kesannya yang positif yoga menjadi amat popular pada hari ini. Doktor-doktor di Harvard sering kali menyuruh pesakit-pesakit mereka mengamalkan yoga bertujuan untuk menjaga kesihatan.

Jika dilihat secara menyeluruh, memang terdapat beberapa unsur yoga di dalam solat. Solat merupakan ibadah yang merangkumi “jasad, roh dan akal.” Ia mempunyai kedudukan serta gerak badan tertentu yang dikenali sebagai rukun fi’li. Ia juga mementingkan gerak hati yang sentiasa ikhlas kepada Allah dan ini dikaitkan dengan rukun qalbi. Ia juga mempunyai kalimat-kalimat tertentu yang perlu dilafazkan dan ini dikaitkan dengan rukun qauli serta zikir. Salah satu kedudukan terpenting dalam solat ialah sujud. Di kedudukan ini seseorang akan meletakkan kepalanya di bumi dan di kedudukan itu darah dari jantungnya akan turun ke otak dengan mudah sekali. Berbeza dengan sirshasana, sujud dapat dilakukan oleh hampir semua orang.

Namun solat adalah lebih dari yoga kerana ia adalah ibadah yang berdasarkan wahyu. Ia adalah aktiviti penyembahan kepada Yang Maha Pencipta yang memerlukan disiplin kerana ia terikat dengan waktu. Seseorang yang hendak bersolat wajib membersihkan jiwanya dari kesyirikan terlebih dahulu sebelum memasuki solat untuk mengesakan Allah. Di samping itu pembersihan jasad dengan berwuduk adalah diwajibkan. Oleh kerana ia adalah aktiviti pengabdian, pemakaian seseorang juga perlu menjurus kepada pengabdian dengan menutup aurat. Solat tidak hanya merupakan aktiviti individu, ia juga merupakan aktiviti kelompok. Justeru solat berjemaah adalah diwajibkan pada masa-masa tertentu berpandukan cara dan syarat yang telah ditetapkan. Justeru jika dibandingkan dengan yoda, solat adalah lebih lengkap dan komprehensif dan kesan jangka panjangnya adalah lebih mendalam.


Faedah-Faedah Solat

Solat yang dilakukan akan menggugurkan dosa seseorang. Imam Muslim meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat yang lima menghilangkan dosa sebagaimana air menghilangkan daki.” Dalam riwayat yang lain oleh Imam Muslim, nabi bersabda, “Solat menghapuskan dosa yang berlaku di antara satu solat dengan satu yang lain melainkan dosa-dosa besar.”

Solat membina jati diri seseorang. Imam Abu Al-Aliyah berkata, “Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Ikhlas akan membawa seseorang kepada yang makruf, khusyuk akan mencegahnya dari perbuatan mungkar dan zikrullah akan membantunya melakukan yang makruf dan mencegahnya dari yang mungkar”. Hal ini disebutkan di dalam Tafsir Al-Azhar oleh Hamka.

Di samping itu, solat menguatkan jiwa seseorang sehingga memampukannya meninggalkan kekejian dan kemungkaran. Dalam surah Al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.” Apabila peribadi unggul seperti ini dapat dibentuk melalui solat, keluarga dan masyarakat akan menjadi aman dan selamat.

Solat mendidik umat Islam menjadi pengurus masa yang baik. Dalam surah An-Nisak ayat 103, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.” Oleh kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan dosa. Kepekaan kepada waktu ini jika diperkembangkan kepada seluruh kehidupan akan menjadikan umat Islam satu golongan yang menghargai masa. Golongan yang menghargai masa pasti akan cemerlang.

Solat juga membentuk disiplin. Di antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat ialah mengambil wuduk, dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib. Tertib bermaksud, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib dipelihara.. Jika seseorang mendahulukan amalan yang sepatutnya dikemudiankan, sebagai contoh, melakukan sujud sebelum qiam dan takbiratul ihram, solatnya dianggap tidak sah. Latihan-latihan seperti ini mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali gus menjadikannya efisien di dalam setiap pekerjaan.

Solat mendidik umat Islam agar mementingkan ilmu. Hal ini disebabkan ketika melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim dan Ahmad, nabi bersabda, “Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih tahu tentang Al-Quran. Jika kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah dari kalangan yang lebih memahami sunnah..” Makmum yang berada di belakang imam juga perlu menguasai ilmu kerana kadangkala imam terlupakan sesuatu di dalam solatnya. Justeru, Islam mengarahkan agar makmum yang berdiri hampir dengan imam adalah dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi, nabi bersabda, “Hendaklah mereka yang pandai lagi baligh bersolat dekat denganku, kemudian mereka yang seumpama mereka, kemudian mereka yang seumpamanya..”

Tekanan jiwa atau stres sering melanda manusia dan solat mempunyai penawar yang mampu meredakannya. Hal ini disebabkan solat mengandungi zikir dan zikir jika dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati. Dalam surah Taha ayat 14 Allah berfirman, “Dan tegakkanlah solat untuk berzikir kepadaKu.” Oleh kerana solat benar-benar mendamaikan hati nabi pernah berkata, “Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat.” Justeru, rugilah mereka yang tidak bersolat. Kerugian mereka amat besar sekali.


dipetik dari laman web www.danialzainalabidin.com

Monday, August 3, 2009

Kata-kata Hikmah

“Maka barangsiapa telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam,
memperolehi ia cahaya yang terang-benderang dari Nur Tuhannya.”

Kata Amirul Mukminin Ali b. Abi Talib:
“Ambillah daripadaku lima perkara:
·Pertama: Jangan engkau mengharapkan seseorang selain dari Tuhan engkau
sendiri.

·Kedua: Jangan engkau takuti sesuatu pun, selain dari kemurkaan Ilahi.

·Ketiga: Jangan engkau segan mempelajari yang belum diketahui, walaupun
dari sesiapa sahaja.

·Keempat: Hendaklah engkau berani mengatakan; belum mengetahui apa yang
sebenarnya engkau belum mengetahuinya.

·Kelima: Hendaklah engkau sentiasa berlaku sabar, kerana sabar itu kepala
iman.

Manusia yang paling bahagia ialah orang yang berilmu, sabar dan memadai apa
yang ada (qanaah).

·Saidina Ali – manusia yang paling bahagia ialah orang yang dapat
menunaikan segala tanggungjawabnya.

·Ibrahim An-Nakhai – Kebinasaan orang yang sebelum kamu dengan sebab 3
perkara iaitu banyak cakap, banyak makan dan banyak tidur.

·Malik b. Dinar – Perbaikilah 3 perkara dengan 3 perkara agar kamu termasuk
dalam golongan orang yang beriman: sombong dengan tawadhuk, hasad dengan
nasihat, bakhil dengan qanaah.

Ada 4 perkara yang baik tetapi 4 perkara yang lain lebih baik:

·Malu bagi lelaki itu baik tetapi malu bagi wanita itu lebih baik,

·Adil bagi setiap orang itu baik tetapi adil bagi pemimpin itu lebih baik,

·Taubat bagi orang tua itu baik tetapi taubat dari orang muda itu lebih
baik,

·Pemurah bagi orang kaya itu baik tetapi pemurah dari orang miskin itu
lebih baik

Ciri-Ciri Mereka Yang Menghayati Dan Memperjuangkan Islam

Bentuk kehidupan seseorang yang menghayati dan memperjuangkan Islam tentulah berbeza dengan manusia lain. Antaranya ialah:

1. Terikat dan menurut ajaran Islam.

Iman bukan sekadar cita-cita. Iman adalah suatu yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan melalui amal perbuatan. Allah SWT sering mengaitkan iman dengan amalan.

Firman Allah SWT: maksudnya;

“...orang-orang yang beriman dan beramal soleh ...” (Al-’Ashr: 3)

Dalam hubungan ini Allah SWT mengingatkan janganlah kita mengajak manusia lain berbuat baik sedangkan kita melupai diri kita sendiri.Firman Allah SWT:

“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Al Kitab, tidakkah kamu berfikir?”. (Al-Baqarah : 44)

2. Mengutamakan kepentingan Islam.

Sabda Rasulullah SAW: mafhumnya;

“Berkisarlah untuk kepentingan Islam di mana kepentingannya berkisar.”

Baginda mengingatkan lagi dengan sabda yang bermaksud;

“Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat hal ehwal orang Islam yang lain maka ia bukanlah dari golongan mereka (Islam).”

Rasulullah SAW menjelaskan secara langsung dengan sabda yang bermaksud;

“Engkau memegang pos-pos penting daripada pos-pos Islam, maka (awas) jangan sampai musuh dapat lolos daripada penjagaanmu.”

3. Berasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT.

Berasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT adalah antara sifat-sifat orang-orang beriman. Allah mengingatkan dalam al-Quran di dalam firman-Nya yang bermaksud;

“Janganlah kamu berasa hina (lemah) dan jangan kamu berasa duka cita dan kamu adalah lebih tinggi (mulia) jika kamu (benar-benar) beriman.” (Ali Imran: 139)

Ketika para sahabat Rasulullah SAW berada dalam perlindungan kerajaan Habsyah dan menemui rajanya, Najasyi, paderi dan pendita yang ada di Istana Najasyi meminta mereka sujud untuk menghormati Raja Najasyi. Tetapi Ja’far bin Abi Thalib r.a yang menjadi ketua rombongan itu menjawab: “Kami tidak sujud melainkan untuk Allah SWT.”

4. Bekerja untuk Islam dan bekerjasama dengan pekerja-pekerja Islam.

Apabila kita mengaku Muslim, kita harus bekerja untuk Islam. Kita patut bekerja secara berjama’ah, bekerjasama dengan para pendakwah lain yang menyeru kepada Allah SWT, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran. Kita harus bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang melaksanakan Islam dalam pemerintahan. Firman Allah SWT: maksudnya;

“Kami akan perkuatkan tenagamu dengan saudaramu.” (Al-Qashash: 35)

Firman Allah SWT lagi: bermaksud;

“Bertolong-menolonglah kamu dalam urusan kebaikan dan jangan kamu bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah: 2)

Sabda Rasulullah SAW: maksudnya;

“Seorang muslim dengan seorang muslim yang lain adalah seperti binaan yang tersusun. Sebahagiannya meneguhkan sebhagian yang lain.”

“Tangan (pertolongan) Allah di atas (bersama) jamaah.”

“Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpencil (daripada kumpulannya).”

“Hendaklah kamu bersama-sama Jama’ah al-Muslimin dan kepimpinan mereka.”