Pada zaman dahulu, ada seorang pemuda yang amat soleh dan wara’. Dia juga terkenal sebagai seorang yang sangat jujur dalam percakapan mahupun perbuatan. Dia tinggal di sebuah kota kecil di negeri Parsi. Menurut riwayat, Abu Salih Jangi Dost adalah keturunan Saidina Hassan bin Ali, cucu kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Abu Salih adalah seorang pemuda Islam yang kuat beribadah, dan mempunyai ilmu pengetahuan yang amat luas. Dia tidak tertarik langsung dengan kesenangan dunia. Setiap hari dia suka duduk di tepi sungai sambil memikirkan kebesaran Allah s.w.t.
Pada suatu hari, ketika Abu Salih sedang duduk di tepi sebatang sungai, dia ternampak sebiji epal dihanyutkan air. Ketika itu Abu Salih belum lagi makan apa-apa dan dia berasa lapar. Abu Salih pun mengambil buah itu serta memakannya. Tiba-tiba dia tersedar bahawa dia telah makan buah epal dari pokok kepunyaan orang lain.
Abu Salih tidak senang hati. Tanpa membuang masa, dia terus pergi mencari pemilik kepada epal tadi. Dia memudiki sungai hingga ke hulu. Setelah sekian lama dia berjalan, dia ternampak satu dahan dari sebatang pokok epal terjuntai dari atas sungai. Dia yakin bahawa epal yang dimakannya berasal dari pokok ini. Dia berasa takut akan kemurkaan Allah dan tuan pokok tersebut, lantas terus mencari tuannya itu.
Tidak lama kemudian, Abu Salih tiba di hadapan sebuah rumah yang sederhana besar. Abu Salih mengandaikan bahawa pemilik rumah itu adalah tuan kepada pokok epal tadi. Sebenarnya rumah itu kepunyaan seorang wali Allah yang terkenal iaitu Abdullah Sawmai.
Setelah memberi salam dan masuk ke dalam rumah itu, Abu Salih menceritakan tujuan kedatangannya. Dia meminta maaf di atas kesalahannya. Abdullah Sawmai bersedia untuk memaafkannya dengan syarat Abu Salih harus tinggal bersamanya selama dua belas tahun. Wali itu sengaja menguji sejauh mana ketaqwaan Abu Salih. Abu Salih bersetuju sahaja dengan syarat tersebut.
Semasa Abu Salih tinggal di situ, dia telah membantu membuat berbagai-bagai kerja rumah. Dia juga taat kepada setiap kerja yang diberikan kepadanya.
Setelah genap dua belas tahun Abu Salih menetap bersama Abdullah Sawmai, dia pergi menemui wali itu untuk meminta keizinannya untuk pulang ke kampung halamannya.
Sebaik sahaja selepas dia meminta maaf, Abdullah Sawmai berkata, “Aku bersedia memaafkan kau dengan syarat engkau mesti mengahwini anakku yang buta, pekak dan juga cacat”. Mendengar kata-kata tersebut, Abu Salih berbisik di dalam hati, ‘Kenapa aku diberikan hukuman yang begitu berat sekali sedangkan aku hanya memakan sebiji epal’. Walaubagaimanapun, Abu Salih tetap merasakan bahaw ia adalah satu ujian dari Allah dan tentu ada hikmat di sebaliknya. Akhirnya, dia dengan rela hati menerima syarat Abdullah Sawmai .
Setelah mereka dinikahkan, Abu Salih amat terkejut apabila dia mendapati bahawa isterinya tidak buta, tidak pekak dan tidak pula cacat seperti yang diberitahu oleh ayah mertuanya. Sebaliknya, isterinya seorang gadis yang amat cantik. Abu Salih berasa hairan dengan kata-kata ayah mertuanya.
Pada suatu hari, Abu Salih pun mendekati ayah mertuanya dan bertanya tentang kenyataan ayahnya tentang isterinya sebelum ini. Abdullah Sawmai berkata, “Aku katakan Fatimah isterimu itu buta kerana dia tidak pernah melihat orang lain selain ayahnya. Aku katakan dia pekak kerana dia tidak pernah mendengar sebarang kata dusta dan aku katakan dia cacat kerana dia pernah melakukan dosa”.
Semenjak hari itu, Abu Salih hidup bahagia dengan isterinya, Ummu Khair Fatimah.
No comments:
Post a Comment