~Kata Hikmah~

``Orang Beriman yang dipupuk semangat taqwa akan sentiasa yakin bahawa dalam keadaan apa sekalipun dia tidak akan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t' '

Friday, October 22, 2010

Kisah Safwan Umaiyah Dengan Rasulullah

Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki bernama Safwan bin Umaiyah. Di sangat benci kepada Rasulullah dan sering mengganggu Rasulullah dengan berbagai-bagai perbuatan yang menyakitkan baginda.

Pada suatu hari, dia sangat ketakutan kerana Nabi dan angkatan tentera Islam telah berjaya memasuki kota Mekah. Ada satu pasukan yang telah dipimpin oleh Khalid Al-Walid. Dari jauh, bendera Nabi s.a.w. yang bernama ‘Al-Uqab’ kelihatan berkibar-kibar dengan megah. Sementara itu, golongan musyrik mengintai ketakutan di sebalik sebuah bukit.

Safwan yang dahulunya kejam terhadap Rasulullah turut mencari perlindungan. Dia takut dan merasakan bahawa dia lebih sanggup terjun ke dalam laut daripada bertemu dengan Rasulullah pada waktu itu.

Seorang sepupu Safwan, Umair bin Wahab pergi menemui Rasulullah kerana ingin menceritakan kepada baginda tentang hal Safwan. Sebaik sahaja dia berdepan dengan Rasulullah, dia berkata, “Ya Nabi Allah, Safwan yang terkenal itu telah melarikan diri dan hendak membunuh dirinya dengan menerjun ke dalam laut. Berilah dia petunjuk sebagaimana yang telah engkau lakukan terhadap Ahmar bin Aswad.”

“Carilah sepupumu itu. Aku tidak akan membunuhnya,” kata Nabi. “Berilah dia tanda agar dia percaya, sebab aku telah menyuruh dia menghentikan peruatannya dan dia bersetuju jika diberi jaminan keselamatan,” kata Umair. Rasulullah pun memberikan serban yang dipakainya sewaktu memasuki mekah. Umair segera mengambil serban itu lantas berlari mendapatkan Safwan.

“Pergilah engkau dari sini,” Safwan berkata kepada sepupunya apabila Umair datang. “Hai, Safwan, aku datang dengan restu insan yang mulia lagi baik, penyantun dan sebaik-baik manusia iaitu saudara kepada ayahmu,” ujar Umair.

“Aku takut untuk menghadapinya,” Safwan berkata. Umair menunjukkan serban Rasulullah. Setelah Safwan melihat serban itu, dia percaya akan kata-kata Umair lalu kembali ke Mekah. Mereka berdua pergi menemui Rasulullah.

“Apakah engkau memberi keamanan kepadaku?” tanya Safwan. “Benar,” jawab Rasulullah. “Berilah aku waktu dua bulan untuk berfikir,” Safwan berkata. “Aku boleh memberi kau empat bulan jika kau mahu,” Rasulullah menjawab.

Akhirnya Safwan memeluk Islam setelah melihat sikap Rasulullah, malah telah mengikuti Rasulullah berperang menentang kaum Quraisy.

Wallahua'lam...

1 comment: