~Kata Hikmah~

``Orang Beriman yang dipupuk semangat taqwa akan sentiasa yakin bahawa dalam keadaan apa sekalipun dia tidak akan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t' '

Sunday, October 31, 2010

Setiap Perkara Ada Keistimewaannya..!!!!!



LELAKI 

Lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya. 

Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin (yg ada anak pompuan ramai kena ingat ni....pastikan anak solat, tutup aurat, etc) dan dosa anak lelaki yang belum baligh. 


BERATKAN? 

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggung jawab ke atas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggung jawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua, manakala perempuan tidak, perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tak baik dosanya ditanggung oleh suaminya. BERATKAN?? 

Suami kena bagi nafkah pada isteri, ini wajib tapi isteri tidak. Walaupun begitu isteri boleh membantu. Haram bagi suami bertanya pendapatan isteri lebih-lebih lagi menggunakan pendapatan isteri tanpa izin. 

Banyak lagi lelaki lebih-lebih lagi yang bergelar suami perlu tanggung. Kalau nak dibayangkan beratnya dosa-dosa yang ditanggungnya seperti gunung dengan semut. Itu sebabnya mengikut kajian nyawa orang perempuan lebih panjang daripada lelaki. Lelaki mati cepat kerana tak larat dengan beratnya dosa-dosa yang ditanggung (ikut kajian laa...jangan percaya sangat) 

Tetapi orang lelaki ada keistimewaannya yang dianugerah oleh Allah SWT. Ini orang lelaki kena tahu, kalau tak tahu kena jadi perempuan. Begitulah kira-kiranya. 





WANITA : 

Auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki. Perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya. Saksinya kurang berbanding lelaki. Menerima pusaka kurang dari lelaki. 

Perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak. 

Wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya. Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri. Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki. 

Pernahkah kita lihat sebaliknya?? 

Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita. 

Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita ? 

Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan 
anak-anak. 

Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di mukabumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampun ALLAH (dosa kecil). 

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita:

1. ibunya , 
2. isterinya , 
3.anak perempuannya , dan 
4. saudara perempuannya. 

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki ini:

1. suaminya, 
2. ayahnya, 
3. anak lelakinya dan 
4. saudara lelakinya . 

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja:

1. sembahyang 5 waktu 
2. puasa di bulan Ramadhan 
3. taat suaminya dan 
4. menjaga kehormatannya . 

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata. 

MasyaALLAH.. .sayangnya ALLAH pada wanita .... 

Seorang wanita adalah pelengkap dan sememangnya istimewa di sisi seorang lelaki , tetapi ingatlah wahai lelaki...kamu sebenarnya adalah istimewa disisi Allah, maka dengan sebab itu DIA mengangkat kamu menjadi 
pemimpin...maka dengan keistimewaan itu, JAGALAH dan HARGAILAH wanita sebaik-baiknya...supaya kelak masing2 lelaki dan wanita dapat pulang mengadap Allah dalam keadaan istimewa disisiNYA.. 

"Berpeganglah kamu sekelian dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu, seketika kamu bermusuh-musuhan telah dipersatukanNya hati kamu semuanya, sehingga dengan segera kamu telah menjadi bersaudara dengan sebab nikmatNya.(Ali- Imran:103) 

Pada hari itu (hari qiamat) manusia diberitahu akan segala yang telah dikerjakannya dan yang telah ditinggalkan. Bahkan manusia itu, anggotanya menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, walaupun dia berperi-peri memberikan alasan untuk membela diri " 





Hikmah sujud - 

Sujud lega sistem pernafasan 

Mungkin ramai di kalangan umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah yang tersembunyi ketika sujud. Pada hal, kita perlu sedar bahawa tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah s.w.t. yang sia-sia, malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia. Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal seperti ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. dan menjauhi laranganNya. Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah s.w.t. dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama. Antara hikmah lain sujud adalah melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. 

Bernafas ketika sujud pula boleh:

- membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya. 

- membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

- melegakan sakit hernia. (burut)

- mengurangkan sakit senggugut ketika haid. 

- melegakan paru-paru daripada ketegangan.

- mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa. 

- kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh. 

- meringankan bahagian pelvis. 

- memberi dorongan supaya mudah tidur. 

- menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.

- pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik. 

- bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada. 

- mengurangkan kegemukan. 

- pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions).

- organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen. 

- mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya. 

Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekaligus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya. 

Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentality seseorang. Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna. 

Tujuh kalimat 

Sabda Rasulullah S.A.W " Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak busa/buih laut " 

1. Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu. 

2. Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu. 

3. Mengucap Astagfirullah jika lidah terselip perkataan yang tidak patut.

4.. Mengucap Insya Allah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.

5. Mengucap La haula wala kuwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini. 

6. Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun jika menghadapi dan menerima musibah. 

7. Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang malam sehingga tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah-mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi bisa, karena sudah biasa 




Wallahua'lam..

Monday, October 25, 2010

Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing....

``Bang ni balik je kerja, tak nak langsung tolong saya siapkan kerja rumah. Baca surat khabar, menghadap televisyen, itu jelah yang awak tahu. Kitakan sama-sama bekerja bang. Saya pun penat macam abang juga. ``Sekurang-kurangnya, buatlah air kopi sendiri. Bukannya susah pun, tukarkan lampin anak ke, ringan sikit kerja saya ni. Nak masak lagi. Abang juga yang nak makan nanti, pot, pet, pot, pet...,'' leter Intan kepada suaminya sejurus kembali dari pejabat masing-masing. 
 
               Itulah contoh leteran yang sering diungkapkan oleh sesetengah golongan isteri kepada suaminya. Kalaulah Intan tahu, betapa besar hukuman serta dosanya meleteri suami sendiri, sudah tentu dia tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Lebih-lebih lagi, sekiranya Intan menghayati ganjaran pahala yang tidak ternilai kerana berbakti kepada suaminya, dia tidak akan merasa susah mahupun penat dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu. 
 
               Dewasa ini, boleh dikatakan fenomena isteri meleteri suami atau dalam kata lain, tidak menghormati suami, bagaikan sudah menjadi satu perkara lumrah bagi kebanyakan pasangan, tanpa sedikitpun merasa bersalah melayani mereka seperti adik lelaki sahaja lagaknya. Apa yang lebih mendukacitakan apabila ada di kalangan isteri yang menyifatkan, menjaga peribadinya dengan bersikap sopan terhadap suami sebagai ketinggalan zaman. Keadaan ini juga akan menjadi model yang tidak baik kepada anak-anak, yang mungkin diwarisi dari satu generasi ke satu generasi lain sehingga akhirnya menjadi satu budaya yang negatif. Banyak nas al-Quran, terutamanya hadis Nabi yang membincangkan tentang kewajipan isteri mentaati suami, selagi tidak diminta melakukan perbuatan maksiat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ``Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya.'' Hadis tersebut menerangkan betapa kepatuhan isteri terhadap suami amat diutamakan demi kebaikan sesebuah institusi keluarga, sesuai kedudukannya sebagai pemimpin rumah tangga. Demikian juga halnya ketika junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dari mikraj ke langit. Baginda telah dipersaksikan dengan neraka dan penghuninya yang kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita. Ali Karramallahu Wajhah berkata: ``Aku masuk ke rumah nabi beserta Fatimah, aku mendapati baginda sedang menangis tersedu-sedan. Aku bertanya, ``hai Rasulullah, apa yang membuat anda menangis?'' Baginda menjawab, ``hai Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umatku disiksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat.'' Baginda melihat perempuan yang digantungkan dengan lidahnya, sedangkan air panas dituangkan ke dalam tenggoroknya kerana ia telah menyakiti dan menyumpah-nyumpah suaminya. 
               
               Ada isteri yang tergamak bercakap kasar malah mengherdik suaminya kerana tidak mendapat apa yang diminta seperti barang kemas, perabot rumah berupa set sofa dan bermacam-macam lagi yang menjadi trend semasa. Lebih buruk lagi perangai si isteri apabila membanding-bandingkan suami dengan jiran tetangga yang mampu menyediakan barangan terbabit, sekali gus dilabelkan sebagai suami mithali. Bukan tidak boleh sama sekali meminta sesuatu daripada suami tetapi janganlah menggesa mereka menuruti kemahuan anda sehingga membebankan. Sebaliknya, si isteri patut bersyukur kerana berpeluang meraih keredhaan Allah. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, maksudnya: ``Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya.'' Hal ini biasa terjadi kepada suami yang miskin, manakala isterinya pula tergolong dalam orang-orang berada yang suka mengungkit-ungkit mengenai hartanya, apatah lagi yang telah dinafkahkan kepada suaminya. Islam juga mengajar isteri agar melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh, mengasuh anak-anak, melayani kehendak suami dan sebagainya dengan penuh rela dan tabah hati. Mungkin ia agak sukar untuk dipenuhi apatah lagi bagi isteri yang bekerja. Namun percayalah, ia bukan sahaja akan menjadi perkara biasa tetapi juga ringan dan lancar, jika kita menganggapnya sebagai ibadah dan juga satu jihad. Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Fatimah Az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai seorang suri rumah tangga secara sendirian tanpa pembantu. 
               
               Fatimah pada suatu hari telah meminta suaminya, Ali pergi menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta jasa baik baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang sebagai pembantu rumah. Rasulullah bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu tidak menjadi milik baginda tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin seluruhnya. Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya. Permintaan Fatimah itu membimbangkan baginda. Bukan kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu dibereskannya. Pada sebelah malamnya, baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: ``Apakah kamu berdua (Fatimah dan Ali) suka kepada satu pemberian yang akan kuberikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta siang hari tadi?''. Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar, masing-masing sebanyak 33 kali setiap kali sebelum tidurnya. Semenjak itu, wirid yang diajarkan oleh Rasulullah telah menjadi amalan anak dan menantunya. Hasilnya, Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya. Baginya, segala tugasan yang disempurnakannya sebagai seorang suri rumah merupakan satu amalan yang solehah. Dengan taufik Allah sesungguhnya, walau seberat mana sekalipun tugasan yang menanti di rumah, tidak akan memenatkan selagi isteri tidak meletakkan dirinya seolah-olah sama taraf dengan suami walau setinggi mana sekalipun darjatnya. Kepada para suami, kita sama-sama maklum, dalam zaman moden yang serba mencabar ini terutamanya di bandar-bandar besar, kita tidak dapat mengelak kos sara hidup yang tinggi sekali gus memerlukan kedua-dua suami isteri keluar bekerja. Si isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami, jadi sudi apalah kiranya sang suami bersama-sama meringankan si isteri seadanya. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah berpesan supaya para suami berbuat baik kepada isteri mereka. Jikalau isteri taat kepada kalian, janganlah pula menyusahkan mereka. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang ertinya: ``Orang-orang yang terbaik daripada kamu sekalian adalah yang lebih baik dalam mempergauli keluarganya dan saya adalah yang terbaik dalam mempergauli keluargaku'’.
 
               Diharapkan kepada semua pasangan suami isteri atau yang bakal menjadi suami isteri, sama-samalah membantu antara satu sama lain agar institusi keluarga itu akan menjadi teguh dan harmoni. Dalam masa yang sama, anak-anak akan menjadikan suasana tersebut sebagai teladan bagi mereka apabila mereka dewasa kelak. Kepada semua isteri-isteri sekalian, jadikanlah kesusahan itu sebagai kekuatan dan motivasi bagi kamu semua agar menjadi seorang wanita solehah yang kuat dari segi mental dan fizikal. Moga-moga dengan apa yang kamu semua lakukan akan mendapat keredhoan Allah s.w.t. Insyaallah, Amin Ya Allah….

Sekian sahaja,WALLAHUA'LAM....

Friday, October 22, 2010

Cinta Itu Bisu....

Dalam satu kisah percintaan yang menarik. Sepasang suami isteri berjalan
di tepi sebuah tasik yang indah. Kemudian mereka berhenti di sebuah
bangku yang disediakan di tepi tasik. Kemudian si isteri bertanya kepada si
suami. Ini dialog mereka......

Isteri : Mengapa abang menyukai saya? Mengapa abang cintakan saya?

Suami : Abang tidak boleh menerangkan sebabnya, namun begitu abang memang
         menyayangi dan mencintai Sayang!

Isteri : Abang tak boleh terangkan sebabnya? Bagaimana abang boleh katakan abang sayang dan cintakan saya sedangkan abang tidak boleh menerangkannya.

Suami : Betul! Abang tak tahu sebabnya tetapi abang boleh buktikan bahawa
         abang memang cintakan Sayang!

Isteri : Tak boleh beri bukti! Tidak! Saya hendak abang terangkan kepada
        saya sebabnya. Kawan-kawan saya yang lain yang mempunyai suami dan teman
        lelaki, semuanya tahu menerangkan mengapa mereka mencintai. Dalam bentuk
        puisi dan syair lagi. Namun begitu abang tidak boleh terangkan sebabnya

Si suami menarik nafas panjang dan dia berkata
"Baiklah! Abang mencintai Sayang sebab sayang cantik, mempunyai suara yang
merdu, penyayang dan mengingati abang selalu. Abang juga sukakan senyuman manis
dan setiap tapak Sayang melangkah, di situlah cinta Abang bersama Sayang!"

Si isteri tersenyum dan berpuas hati dengan penerangan suaminya tadi.
Namun begitu selang beberapa hari si isteri mengalami kemalangan dan koma.

Si suami amat bersedih dan menulis sepucuk surat kepada isterinya yang
disayangi. Surat itu diletakkan di sebelah katil isterinya di hospital.
Surat tersebut berbunyi begini :
"Sayang!Jika disebabkan suara aku mencintai mu... sekarang bolehkah
engkau bersuara? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu. Jika disebabkan
kasih sayang dan ingatan aku mencintai mu...sekarang bolehkah engkau
menunjukkannya? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.Jika
disebabkan senyuman aku mencintai mu... sekarang bolehkah engkau
tersenyum? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.Jika disebabkan
setiap langkah aku mencintai mu.... sekarang bolehkah engkau melangkah?
Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu. Jika cinta memerlukan
sebabnya, seperti sekarang. Aku tidak mempunyai sebab mencintai mu lagi.
Adakah cinta memerlukan sebab? Tidak! Aku masih mencintai mu dulu, kini,
selamanya dan cinta tidak perlu ada sebab. Kadangkala perkara tercantik
dan terbaik di dunia tidak boleh dilihat, dipegang. Namun begitu, ia
boleh dirasai dalam hati."

Tetapi cinta kepada Allah dan Rasul akan menjadi hubungan pasangan suami isteri itu lebih diberkati dan mulia di sisi Allah S.W.T....

Kisah Safwan Umaiyah Dengan Rasulullah

Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki bernama Safwan bin Umaiyah. Di sangat benci kepada Rasulullah dan sering mengganggu Rasulullah dengan berbagai-bagai perbuatan yang menyakitkan baginda.

Pada suatu hari, dia sangat ketakutan kerana Nabi dan angkatan tentera Islam telah berjaya memasuki kota Mekah. Ada satu pasukan yang telah dipimpin oleh Khalid Al-Walid. Dari jauh, bendera Nabi s.a.w. yang bernama ‘Al-Uqab’ kelihatan berkibar-kibar dengan megah. Sementara itu, golongan musyrik mengintai ketakutan di sebalik sebuah bukit.

Safwan yang dahulunya kejam terhadap Rasulullah turut mencari perlindungan. Dia takut dan merasakan bahawa dia lebih sanggup terjun ke dalam laut daripada bertemu dengan Rasulullah pada waktu itu.

Seorang sepupu Safwan, Umair bin Wahab pergi menemui Rasulullah kerana ingin menceritakan kepada baginda tentang hal Safwan. Sebaik sahaja dia berdepan dengan Rasulullah, dia berkata, “Ya Nabi Allah, Safwan yang terkenal itu telah melarikan diri dan hendak membunuh dirinya dengan menerjun ke dalam laut. Berilah dia petunjuk sebagaimana yang telah engkau lakukan terhadap Ahmar bin Aswad.”

“Carilah sepupumu itu. Aku tidak akan membunuhnya,” kata Nabi. “Berilah dia tanda agar dia percaya, sebab aku telah menyuruh dia menghentikan peruatannya dan dia bersetuju jika diberi jaminan keselamatan,” kata Umair. Rasulullah pun memberikan serban yang dipakainya sewaktu memasuki mekah. Umair segera mengambil serban itu lantas berlari mendapatkan Safwan.

“Pergilah engkau dari sini,” Safwan berkata kepada sepupunya apabila Umair datang. “Hai, Safwan, aku datang dengan restu insan yang mulia lagi baik, penyantun dan sebaik-baik manusia iaitu saudara kepada ayahmu,” ujar Umair.

“Aku takut untuk menghadapinya,” Safwan berkata. Umair menunjukkan serban Rasulullah. Setelah Safwan melihat serban itu, dia percaya akan kata-kata Umair lalu kembali ke Mekah. Mereka berdua pergi menemui Rasulullah.

“Apakah engkau memberi keamanan kepadaku?” tanya Safwan. “Benar,” jawab Rasulullah. “Berilah aku waktu dua bulan untuk berfikir,” Safwan berkata. “Aku boleh memberi kau empat bulan jika kau mahu,” Rasulullah menjawab.

Akhirnya Safwan memeluk Islam setelah melihat sikap Rasulullah, malah telah mengikuti Rasulullah berperang menentang kaum Quraisy.

Wallahua'lam...

Sedikit Perkongsian


Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.
Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah..